Tuesday, November 2, 2010

Burung Pekaka Belukar @ Halcyon smyrnensis

Burung Pekaka Belukar sering kelihatan terbang tinggi dan hinggap di pokok Medang Teja. Warnanya yang menarik telah menarik perhatian kami tetapi spesies ini berhijrah dari satu pokok ke satu pokok yang lain dan sukar kelihatan. Jantan dewasa mempunyai warna perang gelap pada bahagian atas kepala dan bahagian perut, manakala pada bahagian leher dan dada pula berwarna putih. Bahagian belakang hingga ke ekor dan sayap berwarna biru kehijauan, manakala bahagian hujung dan sebahagian sayap berwarna perang gelap serta hitam. Paruh berwarna merah gelap dan kelihatan tebal. Semasa terbang, tompok putih pada bulu utama sayap jelas kelihatan. Bagi juvenil pula, warna bulu agak lusuh dan terdapat garis-garis halus yang gelap pada bahagian leher dan dada dengan paruh berwarna coklat. Panjang keseluruhan adalah di antara 27.5 - 29.5 sm. Berat antara 70 - 100 g. Ikan dan haiwan akuatik menjadi makanan spesies ini. Ia mengeluarkan bunyi kek kek kek yang agak bising.  Berdasarkan pemerhatian burung Pekaka tidak sukakan bunyi kenderaan dan lebih suka hinggap di pohon-pohon yang tinggi seperti pokok budi, pokok semarak api dan pokok medang teja. Burung ini juga kelihatan terbang secara solo dan tidak secara berkumpulan mahupun berpasangan seperti burung-burung yang lain.
burung pekaka yang bertenggek di atas pohon Medang Teja
(gambar diambil pada 28/10/10, 4.55pm)

PENGKELASAN SAINTIFIK

NAMA TEMPATAN : Burung Pekaka Belukar 
FAMILI: Alcedinidae
NAMA SAINTIFIK: Halcyon smyrnensis

No comments:

Post a Comment